Kami bertolak dari Felda Redong jam 6.15 petang dan tiba kira-kira jam 8.00 malam. Kehadiran kami dialu-alukan oleh pelajar-pelajar SM Sains Muar yang pernah mengikuti program Jom Masuk Kampung beberapa bulan yang lalu. Kami dibawa kebilik menunggu dan dijamu dengan makanan ringan sebelum kami dibawa ke dewan tempat berlangsungnya program malam kebudayaan sempena SICSEF.
SICSEF atau International Cultural, Science and Education Festival merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh SM Sains Muar. Program yang kali ketiga dijalankan ini melibatkan beberapa buah negara seperi Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Antara program yang dijalankan ialah kuiz Sains dan pendidikan, sukan dan malam kebudayaan.
Kami dijemput untuk menyaksikan malam kebudayaan dimana pertandingan zapin antara pelajar-pelajar negara yang terlibat. Kami juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dari negara-negara yang terlibat seperti Tarian Menora ( Thailand ), Tarian Kurik Kundi ( Indonesia ), Tarian dari pelajar-pelajar SM Sains Sabah, Koir dan Dikir Barat SAMURA dan banyak lagi. Kami juga terhibur dengan gelagat peserta-peserta dalam pertandingan zapin dimana mereka mempunyai beberapa jam sahaja untuk mempelajari tarian zapin dan mempersembahkannya pada malam itu.
Majlis berakhir lebih kurang jam 11 malam dan sebelum kami bergerak pulang, kami sempat bergambar kenang-kenagan bersama Tuan Haji Samian Sawiyo, Pengetua SM Sains Muar dan kakak dan abang angkat Program Jom Masuk Kampung.